Penduduk di wilayah Takhar, Afghanistan, mengebumikan mangsa yang terbunuh dalam satu kubur besar, hari ini. - Foto AP
Penduduk di wilayah Takhar, Afghanistan, mengebumikan mangsa yang terbunuh dalam satu kubur besar, hari ini. - Foto AP

Peshawar: Pihak berkuasa Pakistan dan Afghanistan menjangka jumlah korban gempa bumi di Afghanistan semalam, boleh mencecah 500 orang atau lebih kerana pasukan penyelamat masih belum sampai ke banyak lokasi terpencil serta ada kematian tidak dilaporkan.

Selepas lebih 24 jam, jumlah korban bumi semalam itu, kini meningkat kepada 339 di Pakistan dan Afghanistan.

Menurut kenyataan pihak berkuasa kedua-dua negara, 258 orang mati di Pakistan dan 78 lagi di Afghanistan

Di Afghanistan, Penasihat Kementerian Kesihatan negara itu, Qameruddin Sediqi, mengesahkan 78 terbunuh dan 466 cedera.

“Kami yakin jumlah korban dan yang cedera lebih tinggi kerana tidak semua mangsa dibawa ke hospital atau dilaporkan kepada pihak berkuasa. Masih ada kawasan terjejas yang pasukan penyelamat belum sampai,” katanya.

Sebanyak 1,500 rumah di wilayah Badakhshan musnah dengan 11 kematian dan 25 cedera manakala di Baghlan di barat daya Badakhshan, berlaku tiga kematian dengan 31 cedera.

Wilayah Nangarhar di timur yang bersempadan dengan Pakistan, paling teruk terjejas dengan sekurang-kurangnya 28 mati dan 141 cedera. Lebih 1,000 rumah musnah.

Di wilayah Takhar, 12 murid perempuan mati akibat terpijak atau dirempuh ketika semua murid kelam-kabut menyelamatkan diri dari bangunan sekolah yang runtuh. Dua orang dewasa juga mati di wilayah itu dengan 50 lagi cedera.

Di Pakistan, Lembah Swat dan kawasan sekitar Dir, Malakand serta Shangla di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, merekodkan 202 kematian.

Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif hari ini, melawat bandar Shangla di timur Khyber Pakhtunkhwa yang 49 orang mati dan 80 lagi cedera. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:15 PM