AFP

Peshawar: Akibat berselfie, satu pasangan bersama anak perempuan mereka mati lemas selepas kanak-kanak berusia 11 tahun itu terjatuh ke dalam sungai ketika berselfie dan ibu bapanya cuba menyelamatkannya.

Kejadian berlaku di kawasan pelancongan di tebing Sungai Kunhar yang popular dengan aktiviti berakit di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, 200 kilometer di utara Islamabad.

“Budak perempuan itu, Safia Atif, cuba berselfie di tebing sungai apabila dia tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai. Ibunya terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkannya namun dia dihanyutkan arus menyebabkan bapanya juga kemudian terjun ke dalam sungai namun ketiga-tiga mereka dihanyutkan,” kata jurucakap polis, Arshad Khan.

Mayat budak perempuan itu dan ibunya sudah ditemui dan pasukan penyelamat kini sedang mencari bapanya, Hussain.

Pasangan ibu bapa itu adalah doktor dari Punjab yang bercuti di kawasan berkenaan. Dua lagi anak mereka, anak perempuan berusia sembilan tahun dan anak lelaki enam tahun, berada di tepi sungai itu ketika kejadian.

Menurut Arshad, ada papan tanda melarang orang ramai tidak ke tebing sungai kerana banyak kejadian lemas berlaku di sungai itu setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 6:57 PM