WONG Kah Woh ketika menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada pihak SABK Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting, di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
WONG Kah Woh ketika menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada pihak SABK Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting, di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Sejumlah RM134 juta diperuntukkan bagi projek menaik taraf serta menyelenggara tandas 1,919 Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata ia adalah kesinambungan peruntukan RM70,000 yang diagihkan kepada semua sekolah di bawah KPM sebelum ini menerusi peruntukan khas Naik Taraf dan Penyelenggaraan Kecil Institusi Pendidikan Tahun 2023.

Kata Ahli Parlimen Taiping itu, bagaimanapun ketika ini pihaknya masih dalam proses untuk memenuhi segala tatacara kewangan yang diperlukan sebelum agihan RM70,000 bagi setiap SBK dibuat.

"KPM menyediakan RM134 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf tandas sekolah di SBK memandangkan tahun lepas peruntukan RM70,000 diberikan kepada sekolah kerajaan," katanya kepada pemberita di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Kah Woh turut mengumumkan peruntukan RM300,000 yang disumbangkan Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan, naik taraf, baik pulih fasiliti dan infrastruktur tujuh sekolah yang dilawatinya itu termasuk dua SBK.

Menerusi peruntukan khas Naik Taraf dan Penyelenggaraan Kecil Institusi Pendidikan Tahun 2023, terdapat sebanyak 8,306 sekolah kerajaan menerima peruntukan RM70,000 bagi projek penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di sekolah.

Agihan RM70,000 kepada setiap sekolah kerajaan itu bermula apabila KPM pada Julai tahun lalu melalui Menteri, Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 2:27 PM