MAYAT seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa ribut di Peshawar disiapkan untuk dikebumikan,  semalam.
MAYAT seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa ribut di Peshawar disiapkan untuk dikebumikan, semalam.

Peshawar: Ribut petir di barat laut Pakistan yang digelar ‘anak puting beliung’ meragut 44 nyawa dan mencederakan lebih 200 penduduk.

Hujan lebat dan angin kencang yang melanda bandar raya Peshawar dan daerah berhampiran lewat kelmarin menyebabkan banyak pokok tumbang dan dinding bangunan runtuh serta menyekat jalan raya.

Mangsa yang cedera termasuk hampir 100 kanak-kanak, kata pegawai.

Bencana itu turut menjejaskan hasil pertanian.

Menteri Penerangan wilayah, Mushtaq Ghani berkata, pihaknya bimbang ratusan haiwan ternakan terbunuh.

Sehingga petang semalam, bekalan elektrik masih terputus di Peshawar, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan di sebahagian dua daerah berdekatan.

Menurut Mushtaq, 29 kematian dicatatkan di Peshawar, 10 di daerah Charsadda dan lima lagi di Nowshera.

Memburukkan lagi keadaan, sebahagian kawasan di Peshawar yang mempunyai lebih tiga juta penduduk tenggelam sedalam satu meter berikutan hujan lebat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:13 AM