FAIZAL Saari.
FAIZAL Saari.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Penyerang sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari berharap barisan pemain muda dapat segera menyesuaikan diri beraksi bersama pasukan senior negara menjelang beberapa lagi kejohanan utama yang akan disertai Malaysia selepas ini.

Jelas Faizal, selaku antara pemain senior, dia tidak kisah untuk berkongsi pengalamannya bersama barisan pemain muda, namun pada akhirnya katanya ia terpulang kepada usaha barisan pemain itu sendiri.

Memberi contoh penyerang muda negara, Azimuddin Syakir Kamaruddin yang setakat ini cukup menyerlah apabila berjaya menjaringkan dua gol selepas empat perlawanan di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), Faizal berkata pemain itu memanfaatkan peluang sebaik-baiknya apabila diberi peluang beraksi.

"Ia bergantung kepada seseorang pemain itu hendak ambil masa berapa lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan. Jika lagi cepat pastinya lebih bagus.

"Saya rasa pemain muda sepertinya (Azimuddin) adalah seorang pemain yang sedang meningkat naik dan jika terus diberi peluang, dia mampu untuk menjaringkan gol lagi," katanya.

Jelas Faizal, semua pemain juga perlu mempunyai rasa bertanggungjawab untuk kembali melonjakkan kembali prestasi pasukan di bawah bimbingan jurulatih baharu Speedy Tigers, Sarjit Singh selepas gagal mempertahankan kejuaraan di PSAS.

Ini kerana, selepas berakhir PSAS, skuad negara akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 9 Jun dan Trofi Juara-Juara Asia dari 8 hingga 17 September di Inner Monggolia, China.

"Apabila sudah jatuh, sama ada kita mahu melihat pasukan jatuh lagi atau bangkit semula. Saya dan barisan pemain senior lain akan cuba bantu pasukan untuk bangkit semula.

"Kita mempunyai jumlah pemain yang besar iaitu seramai 30 orang. Saya rasa setiap pemain akan diberi peluang untuk beraksi, jadi harap mereka dapat rebut peluang sebaik mungkin.

"Untuk kejohanan di Poland nanti, siapa yang terpilih berjuanglah sebaik-baiknya sebab (pasukan) hoki kita tengah jatuh, siapa lagi (perlu bertanggungjawab) kalau bukan pemain-pemain dalam skuad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 2:24 PM