WAN Alias (berdiri depan lima dari kiri) bergambar bersama barisan tenaga pengajar program Madrasah AlHijrah musim ketiga.
WAN Alias (berdiri depan lima dari kiri) bergambar bersama barisan tenaga pengajar program Madrasah AlHijrah musim ketiga.
Oleh Norhayati Nordin

Bagi penonton setia TV AlHijrah (TVAH) pastinya tidak asing dengan program Madrasah AlHijrah yang kini disiarkan untuk musim ketiga sejak diperkenalkan pada 2011 lalu.

Disiarkan 30 episod, program yang memperlihatkan cara penyelesaian dianjurkan Islam melalui sunah Rasulullah SAW ini menemui penonton jam 7.30 pagi, setiap Isnin hingga Khamis.

Penerbitnya, Norshirah Mohamad Sahimi berkata, sambutan baik diterima daripada penonton pada dua musim terdahulu.

"Kini, kepelbagaian program agama di televisyen dilihat membantu mempercepatkan pencapaian matlamat dan objektif ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang celik Islam sebenar.

"Ditambah dengan kesesuaian arus kemodenan semasa, rancangan pendidikan tidak formal ini berjaya mendekati setiap golongan masyarakat untuk mempelajari al-Quran, akhlak, syariah dan hadis.

"Ini termasuk, belajar memahami ajaran Islam sebenar menerusi guru yang tepat dan betul," katanya pada sidang media, baru-baru ini .

Menurut Norshirah, program Madrasah AlHijrah yang bermaksud 'sekolah hijrah' dalam bahasa Melayu ini mengambil inspirasi daripada hadis Rasulullah SAW.

"Bersandarkan konsep santai, program ini mengambil pendekatan secara Talaqi iaitu barisan pelajar di studio dan penonton di rumah dapat fokus dalam menggarap inti pati pengajian dengan lebih mudah.

"Tak dinafikan, kaedah ini dilihat amat berkesan dalam penyampaian ilmu kepada segenap lapisan masyarakat yang diterima menerusi komen positif selama ini," katanya.

Berbicara mengenai kelainan, Norshirah berkata, untuk musim ini, pembelajaran dalam Madrasah AlHijrah lebih fokus pada pengajian Tafsir, Syariah, Akhlak dan Sirah.

Selain itu, katanya, turut disediakan juga kuiz bulanan dan soal jawab sepanjang siaran sebagai salah satu cara untuk penonton mengulang kaji semula topik yang lalu.

Tampil lebih segar untuk musim ini, penampilan beberapa tokoh agama baru yang mahir dan berilmu diakui membawa impak besar kepada kumpulan pelajar yang dipilih.

Antara tenaga pengajar itu ialah Dr Mohd Sukki Othman bagi pengajian Tafsir, Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim (Syariah), Ustaz Haslin Baharin (Akhlak) dan Ustaz Ghazali Ibrahim (Sirah).

Bagi membantu pelajar, setiap pengajian dibekalkan dengan buku rujukan yang digunakan khas untuk setiap madrasah bagi memudahkan pembelajaran terutama penonton di rumah.

Selain Norshirah dan barisan tenaga pengajar, hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Wan Alias Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:01 AM