ZAHIRIL dan isteri Shera berlakon bersama menerusi drama Dalam Iradatmu.
ZAHIRIL dan isteri Shera berlakon bersama menerusi drama Dalam Iradatmu.
Oleh Norhayati Nordin .

.

Tempoh empat tahun berusaha untuk memastikan stesen TV AlHijrah (TVAH) diterima seterusnya disedari kemunculannya oleh penonton bukanlah perkara mudah. Pun begitu, kini segala usaha keras itu berhasil.

Meskipun konsep TVAH lebih ke arah kerohanian dan menyemarakkan syiar Islam, namun peningkatan penerimaan penonton dicatat sangat memberangsangkan. Bahkan, ia dilihat satu petanda yang baik.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Wan Alias Wan Abdullah berkata segala kesusahan dan kesukaran pernah dilalui TVAH ketika mula bersiaran empat tahun lalu boleh dianggap berbaloi melihatkan pencapaian kini.

"Paling tidak disangka dan membuatkan kami di TVAH sangat bersyukur apabila purata tontonan dicatat sekarang mampu mencecah 2.2 juta orang berbanding hanya 10,000 tontonan saja dulu.

"Sehingga Ogos lalu, boleh dilihat peningkatan penonton TVAH cukup positif yang mana pertambahan berlaku sebanyak 50 peratus tontonan," katanya.

Menurut Wan Alias menerusi jumlah purata tontonan dicatat itu, rating terbaik untuk program pernah dicatat adalah 500,000 penonton.

Ditemui pada majlis pelancaran program istimewa TVAH bersempena ulang tahun keempat stesen itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin, Wan Alias turut memaklumkan pelbagai program menarik disediakan kepada penonton.

"Memandangkan TVAH semakin mendapat perhatian penonton, ulang tahun keempat ini dirai selama dua minggu dengan pelbagai program menarik akan ditayangkan. Bahkan, ia tertumpu pada program tempatan.

"Sebenarnya saya sendiri tidak sangka yang penonton sangat memberi perhatian untuk menonton rangkaian diterbitkan produksi TVAH sendiri. Boleh dikatakan program majalah dan drama disiarkan mendapat sambutan baik," katanya.

Menolak sama sekali soal persaingan dengan stesen lain, Wan Alias berkata, apa yang menjadi sasaran TVAH kini adalah untuk terus menyediakan program berkualiti dan pada masa sama mematuhi syariah ditetapkan.

Beliau yang sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia penyiaran berkata bukan mudah sebenarnya menghasil-kan program berkualiti yang menepati syariah kerana banyak aspek penting perlu dititikberatkan.

Justeru, katanya TVAH juga sentiasa meneliti pel-bagai idea baru diterima dalam memperkemaskan mutu program akan disiarkan.

Apapun, fokus utama TVAH tetap memastikan pada masa akan datang lebih banyak program berbentuk ilmiah kepada penonton beragama Islam dapat diterbitkan demi memberi faedah dan kebaikan kepada orang ramai.

TVAH yang akan meraikan sambutan ulang tahun keempat itu pada 25 Oktober ini, memberi peluang kepada penonton menyaksikan hampir 20 program istimewa mulai Isnin ini sehingga 2 November nanti.

Mengangkat tema 'TV AlHijrah Kita Untuk Semua', antara program menarik majalah dokumentari, drama dan telefilem disediakan ialah Dalam Iradatmu, Seindah Maharku, The Oversized Coat, TV AlHijrah Suatu Realiti, Menu Alam Edisi Ulangtahun, Pentas Dakwah, Dengan Basikal Aku Menjelajah 2 serta Isu Akidah Edisi Ulang Tahun.

Bagi telefilem Seindah Maharku yang disiarkan pada 24 Oktober ini jam 10 malam mengisahkan Umaira, seorang doktor yang bertugas di klinik desa perkampungan terpencil orang asli di Pahang akhir-

nya jatuh hati kepada pemuda orang Asli baru memeluk Islam, Muhammad.

Pun begitu Muhammad yang pakar bertukang dan melagukan seruling dengan zikir itu menyedari dia tidak sepadan dengan Umaira. Apakah cinta Umaira akan dibalas Muhammad? Telefilem Seindah Maharku dibintangi pelakon seperti Raja Farah dan Azhan Rani.

Menerusi drama 13 episod, Dalam Iradatmu pula menggandingkan pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Shera Ayob sebagai teraju utama yang mengisahkan usaha Ustaz Iqbal mempertahankan tanah Sekolah Tahfiz Darul Ulum yang dibangunkan arwah datuknya, Tok Ayah Taufik daripada dirampas oleh Tan Sri Hanif.

Pelbagai konflik berlaku dan apakah usaha Ustaz Iqbal menyelamatkan tanah sekolah tahfiz itu daripada dirampas akan berjaya? Drama Dalam Iradatmu akan menemui penonton TVAH mulai Isnin ini jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:00 AM