SITI Fazurina dan Qazem sebagai pelakon utama drama Bos... Mama Kirim Salam di TVAH.FOTO Mohamad Shahril Badri saali
SITI Fazurina dan Qazem sebagai pelakon utama drama Bos... Mama Kirim Salam di TVAH.FOTO Mohamad Shahril Badri saali
Norhayati Nordin


STESEN TV AlHijrah (TVAH) mengambil pendekatan baharu dengan menghasilkan drama terbitan sendiri, Bos...Mama Kirim Salam.

Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Namanzee Harris berkata, kini masa yang sesuai untuk stesen itu mencuba bidang baharu.

“Selama ini, TVAH banyak menerbitkan program TV dan bukan projek drama yang menjadi medium baharu kami.

“Tidak dinafikan dengan menerbitkan drama sendiri, sedikit sebanyak membantu menjimatkan perbelanjaan pihak stesen.

“Apatah lagi, drama pertama ini dihasilkan dengan pendekatan konsep patuh syariah,” katanya.

Menurut Namanzee, drama itu memaparkan plot jalan cerita yang menarik.

“Kami mengangkat kisah perjalanan kerja dalam dunia penyiaran dan latar lokasinya di stesen TVAH sendiri.

“Malah, peluang juga diberikan kepada kakitangan TVAH untuk terbabit sama sebagai pengarah dan pelakon.

“Drama diarahkan Wan Hussin Wan Ismail ini mempunyai 36 episod,” katanya.

Menurut Namanzee, dia juga tidak menjangka betapa stesen TVAH mempunyai ramai kakitangan yang memiliki bakat lakonan.

Drama Bos...Mama Kirim Salam menampilkan pelakon seperti Qazem Nor, Siti Fazurina, Carolina Binr dan Zee Khan Hussein.

Drama ini disiarkan TVAH kepada penonton stesen itu bermula 6 Februari lalu, setiap Khamis dan Jumaat, jam 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:30 AM