LUQMAN Hakim
LUQMAN Hakim
Norhayati Nordin


SUDAH 15 tahun Luqman Hakim Malik, 36, bergelar pengacara. Namun, sepanjang tempoh itu nama Luqman tidaklah popular sebagaimana pengacara muda dan lebih baru daripadanya.

Mengakui perkara itu, pengacara program bual bicara Sembang Rahmah di TV AlHijrah (TVAH) terbabit berkata, dia lebih selesa bersikap ‘low profile’.

“Meskipun tahu populariti juga penting untuk dikecap dalam kerjaya ini, bagi saya ia bukan keutamaan.

“Saya menceburi bidang ini kerana minat dan bersyukur mampu bertahan hingga kini apatah lagi banyak pengalaman sudah ditimba.

“Mungkin nama kurang menjadi perhatian kerana tidak pernah terpalit sebarang gosip,” katanya.

Luqman berkata, sokongan padu diberikan keluarga terhadap dirinya membuatkan dia selesa mengambil langkah berhati-hati.

“Penting bagi saya menjaga nama baik keluarga terutama ibu bapa. Ini kerana mereka merestui pembabitan dalam kerjaya ini,” katanya.

Pernah hilang seketika daripada radar industri seni, Luqman berkata, ia terjadi kerana ingin mencuba kerjaya lain.

“Saya ada mencuba nasib sebagai penyampai radio IKIM FM pada 2015 sebelum beralih ke dunia komunikasi korporat.

“Sekitar 2017, saya dapat peluang berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Namun, kerinduan terhadap kerja pengacaraan membuatkan saya enggan melepaskan peluang yang diberikan TVAH,” katanya.

Luqman yang pernah mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O di TV9 juga aktif sebagai model iklan di TV.

Sehubungan itu, program Sembang Rahmah selama 30 minit di TVAH mula disiarkan untuk tatapan penonton pada 21 Oktober lalu.

Program memuatkan lapan episod yang disiarkan setiap Isnin, jam 9 malam itu lebih mesra untuk tontonan bukan Muslim.

Ia berikutan kupasan isu berkaitan Islam yang santai dengan menjemput ahli panel dalam kalangan selebriti dan penggiat seni bukan Muslim.

Antara panel jemputan itu ialah Seelan Paul, Melissa Th’ng, Levonia Ricky, Sasi The Don, Santesh, Low Ngai Yuen, Adeline Tsen, Dr Soo Wincci, Datuk Hans Isaac dan Kavita Sidhu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:00 AM