Bata, Equatorial Guinea: Congo Brazzaville meraikan malam bersejarah pada Piala Negara Afrika, awal pagi semalam manakala harapan naib juara 2013, Burkina Faso layak ke suku akhir kini terjejas.

Congo meraih kemenangan sulung pada pusingan akhir dalam tempoh lebih empat dekad apabila mengalahkan Gabon, 1-0 hasil jaringan Prince Oniangue (gambar) sekali gus mencerahkan peluang ke suku akhir dari Kumpulan A.

Terdahulu, dalam kumpulan sama, tuan rumah Equatorial Guinea mengikat Burkina Faso 0-0 menyebabkan peluang kedua-dua pasukan mara semakin malap.

Ia malam mengecewakan buat Gabon yang sedar kemenangan ke atas Congo kendalian Claude Le Roy boleh membantu mereka layak ke suku akhir sebelum menamatkan aksi kumpulan, namun mereka dihimpit penyudah tumpul.

Congo berjaya bertahan hingga rehat dan kemudian memecah kebuntuan pada minit ke-48 apabila Oniangue merembat masuk selepas pertahanan Gabon gagal mengeluarkan bola berikutan sepakan sudut.

“Secara praktiknya saya tidak pernah mempunyai pasukan yang boleh beraksi amat baik secara taktikal dan kemenangan ini amat menakjubkan,” kata Le Roy yang tampil sebagai jurulatih kali kelapan pada Piala Negara Afrika. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 8:10 AM