Malabo, Equatorial Guinea: Tunisia dan juara 2012, Zambia mengalami kekecewaan ketika Piala Negara Afrika dilangsungkan di kawasan terpencil Ebebiyin, awal pagi semalam.

Pekan kecil yang menjadi sempadan tiga negara Equatorial Guinea, Cameroon dan Gabon menyaksikan penonton memenuhi kapasiti 5,000 stadium ketika Zambia dan DR Congo membuka kempen Kumpulan B dengan seri 1-1, ketika bintang Liga Perdana, Yannick Bolasie menjadi penyelamat maruah Leopards.

Beberapa jam kemudian, Cape Verde bangkit untuk mengikat Tunisia 1-1 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Heldon.

Zambia memenangi trofi itu ketika Equatorial Guinea kali terakhir menjadi hos pusingan akhir pada 2012, namun tersingkir pada peringkat kumpulan setahun kemudian sekalipun seri semua perlawanan mereka.

Chipolopolo meneruskan rekod tanpa kalah pada pusingan akhir kepada 12 perlawanan sekalipun gagal mempertahankan gol awal minit kedua sumbangan Given Singuluma, yang beraksi buat kelab ternama DR Congo, Tout Puissant Mazembe.

Pemain sayap Crystal Palace, Bolasie menyumbat masuk pada pertengahan babak kedua untuk berkongsi mata dan keputusan itu jelas memuaskan hati jurulatih Zambia, Honour Janza.

“Amat penting kami tidak kalah pertemuan ini kerana perlawanan pembukaan biasanya amat sukar,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:15 AM