JOHARI (kanan) bersama Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa, menziarahi Ismail Ali, yang mengalami masalah sakit lutut kronik. FOTO Nazdy Harun
JOHARI (kanan) bersama Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa, menziarahi Ismail Ali, yang mengalami masalah sakit lutut kronik. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Marang: "Saya kini hanya mampu berkerusi roda memandangkan kedua-dua belah lutut tidak lagi mampu menampung berat badan," kata Ismail Ali, 68, pesara polis dari Kampung Padang Mengkuang, di sini.

Ismail yang menerima kunjungan Pegawai Khas Kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Johari Kassim baru-baru berkata, selepas membuat pembedahan lutut kanan, dia selepas itu mampu berjalan namun dengan menggunakan kekuatan kaki sebelah kini.

Bagaimanapun katanya, lama kelamaan lutut kiri tidak mampu menampung bebanan dan mengakibatkan dia kini tidak boleh berjalan dan masa sehariannya dihabiskan dengan berkerusi roda.

Katanya, pembedahan lutut kanan dilakukan dua tahun lalu dan lutut kirinya melalui proses suntikan ubat namun belum menunjukkan perkembangan positif.

"Selain mengalami penyakit lutut kronik, saya juga menghidap penyakit kencing manis dan kini dia bergantung kepada insulin yang dicucuk pada anggota badannya.

"Saya cukup terharu kerana menerima kunjungan pegawai khas dari KDN yang sudi melihat kehidupan seharian saya," katanya yang bersara sejak 14 tahun lalu.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa.

Mengulas mengenai lawatan yang dilakukan ke Terengganu, Johari berkata, beliau diwakilkan oleh menteri untuk menyantuni warga KDN di seluruh negara.

"Hingga kini sudah beberapa negeri saya kunjungi antaranya Pulau Pinang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak namun ianya masih belum meliputi keseluruhannya.

"Dalam siri lawatan ini kita melihat kebajikan mereka kerana kementerian amat menitik beratkan kakitangan mereka sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang sudah bersara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 10:47 AM