Sadio Mane meraikan jaringan buat Senegal. FOTO Agensi
Sadio Mane meraikan jaringan buat Senegal. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Bintang Liverpool, Sadio Mane meledak gol ketika Senegal mencatat kemenangan 1-0 di Guinea-Bissau sekali gus pasukan kedua layak ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika, selepas tuan rumah, Cameroon.

Bekas Pemain Terbaik Afrika itu meledak selepas 82 minit permainan menentang lawan yang terpaksa beraksi 10 pemain selepas Jorge 'Bura' Nogueira dilayangkan kad merah pada pertengahan babak kedua di Bissau.

Ia lima hari yang cukup bermakna buat Mane, yang menjaringkan gol pertama dan mencipta gerakan buat gol kedua apabila Senegal menewaskan Guinea-Bissau 2-0 di Thies dekat Dakar, Rabu lalu.

Dua kemenangan itu membolehkan Senegal, ketika ini di puncak ranking pasukan negara Afrika, memungut 12 mata maksimum dari empat perlawanan dalam Kumpulan I dan layak dengan berbaki dua perlawanan lagi mengikut jadual.

Senegal melengkapkan jadual mereka antara 22 dan 30 Mac depan dengan berkunjung ke Congo Brazzaville dan melayan kunjungan eSwatini, dan besar kemungkinan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meminta untuk Mane direhatkan.

Congo mempunyai enam mata, Guinea-Bissau tiga dan eSwatini tanpa mata bergelut untuk layak berdepan pasukan naib juara 2002 dan 2019 kejohanan, Senegal.

Seorang lagi bintang Liverpool yang meledak jaringan adalah pemain tengah Guinea, Naby Keita namun Ahmat Abdaraman menyamakan kedudukan sebelum rehat separuh masa buat Chad, yang memaksa keputusan seri 1-1 dalam saingan Kumpulan A di N'Djamena bagi mata pertama dipungut mereka.

Guinea berada di tempat teratas kumpulan dengan lapan mata daripada empat perlawanan, tetapi Mali mampu memintas mereka jika mencatat kemenangan ke atas Namibia pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 8:39 AM