FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kota Bharu: Walaupun kudung kaki kiri dan terpaksa bertongkat akibat kanser tulang, keadaan itu tidak sesekali melemahkan semangat seorang guru tahfiz untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Azaha Ahmad, 55, berasal dari Kampung Wakaf Zain Tawang, Bachok berkata, perkara itu tidak menjadi masalah buatnya berikutan dia dibantu isteri yang turut sama mengerjakan haji.

Menurutnya, dia bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah SWT buat kali pertama.

"Saya menghidap kanser tulang sejak berusia 25 tahun, kaki kiri terpaksa dipotong sehingga paras lutut bagi mengelakkan kanser merebak ke bahagian tulang lain … syukur saya sudah bebas kanser tulang kini," katanya di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini malam tadi.

Azaha berkata, dia menerima panggilan haji pada 2023, namun terlepas peluang itu kerana tidak sempat mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.

Bagaimanapun perasaan bahagianya kini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila dia dan isteri terpilih menjadi antara 141 jemaah dari Kelantan yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, seorang penuntut dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor Aiman Suhaimi, 25, tidak menyangka akan menjadi bakal haji pada usia muda.

"Syukur sangat terpilih ke sana (Tanah Suci) berkat ibu bapa menabung sejak saya kecil … alhamdulillah saya telah melengkapkan kursus berkaitan ibadah haji selain mempunyai tahap kesihatan yang baik," kata pelajar tahun dua jurusan Doktor Falsafah bidang Kimia Persekitaran yang akan menunaikan haji bersama bapa saudaranya.

Kesemua 141 jemaah haji itu adalah kumpulan kedua yang bergerak dari kompleks berkenaan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum berangkat ke Tanah Suci bersama jemaah lain bagi menunaikan ibadah haji.

Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 11:17 AM