PEMAIN Gabon,  Evouna (kiri) mengasak pemain Burkina Faso, Steeve Yago.
PEMAIN Gabon, Evouna (kiri) mengasak pemain Burkina Faso, Steeve Yago.

Bata, Equatorial Guinea: Gabon mengungguli Kumpulan A selepas perlawanan pertama Piala Negara Afrika semalam dengan menundukkan Burkina Faso 2-0 manakala tuan rumah Equatorial Guinea seri 1-1 dengan Congo Brazzaville.

Pasukan Panthers kendalian Jorge Costa cemerlang di Bata menerusi gol pada setiap babak dengan Pierre-Emerick Aubameyang membuka tirai jaringan pada minit ke-19 diikuti jaringan Malick Evouna pada minit ke-72.

Aubameyang, kapten Gabon yang beraksi di Jerman bersama Borussia Dortmund, tenang dengan penyudahnya selepas terdahulu dinafikan penjaga gol Burkina Faso, Germain Sanou.

Jaringan itu hadir menerusi serangan balas pantas dengan Stallions mendominasi perlawanan dan naib juara 2013 itu kemudian dinafikan gol penyamaan pada babak kedua apabila Didier Ovono menyelamatkan percubaan Bertrand Traore.

“Jika anda tidak boleh menyumbat gol, anda tidak boleh menang. Itulah peraturan permainan ini,” kata jurulatih Burkina Faso Paul Put, ketika rakan sejawatnya Costa mengakui Gabon bernasib baik.

Terdahulu, impian tuan rumah memulakan kempen dengan kemenangan gagal dilaksanakan apabila jaringan lewat Thievy Bifouma membantu Congo Brazzaville seri 1-1.

Bifouma, dari kelab Sepanyol, Almeria, menolak bola di celah kelangkang penjaga gol Equatorial Guinea, Felipe Ovono tiga minit sebelum tamat untuk memadam jaringan kapten Emilio Nsue pada minit ke-16. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:49 AM