Saudi: Kira-kira lima peratus atau setengah juta penduduk Arab Saudi didapati menyokong kumpulan militan Negara Islam (IS).

Perkara itu didedahkan Institut Washington bagi Dasar Timur Dekat, berdasarkan tiga kaji selidik yang mengukur populariti kumpulan berkenaan di Arab Saudi, Mesir dan Lubnan, tiga negara yang bergabung dalam pakatan antarabangsa menentang IS.

Kajian itu juga mendapati, IS hampir tidak mendapat sokongan dari negara berkenaan, termasuk di kubu kuat Sunni.

Di Mesir, hanya tiga peratus responden menyokong kumpulan militan itu,

Di Lubnan, hanya satu peratus penduduk Sunni menyokong sementara penduduk Kristian, Syiah dan Druz mengecamnya sama sekali.

Kajian itu dilakukan sebuah firma kaji selidik terkenal di Asia Barat menerusi wawancara secara langsung dengan responden.

Hasil kajian juga mendapati, 35 peratus rakyat Mesir dan 31 peratus Saudi menyokong Ikhwanul Muslimin walaupun kumpulan itu diharamkan kerajaan kedua-dua negara.

Dalam pada itu, 12 peratus penduduk Saudi dan 13 peratus rakyat Mesir menyokong Hizbullah, kumpulan Syiah terkemuka di Lubnan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:04 AM