MANE (kanan) sandaran Senegal robek gawang lawan.
MANE (kanan) sandaran Senegal robek gawang lawan.
AFP

Franceville, Gabon: Sadio Mane perlu mencipta sesuatu bagi membolehkan Senegal mencipta kejutan dengan layak ke suku akhir Piala Negara Afrika 2017 jika menewaskan Zimbabwe di Franceville, hari ini.

Senegal kini mengumpul tiga mata manakala Algeria serta Zimbabwe masing-masing mempunyai satu mata sambil Tunisia menduduki tangga terbawah kumpulan.

Jika menang dan layak ke suku akhir sambil berbaki satu perlawanan di tangan, ia pasti mengubah imej Teranga Lions itu selepas dua penampilan buruk di kejohanan sama sebelum ini.

Dilabel selaku pilihan ketika Gabon menjadi tuan rumah bersama edisi 2012, Senegal tewas di tangan Zambia, Equatorial Guinea dan Libya sekali gus tersingkir di peringkat kumpulan.

Tiga tahun kemudian, Senegal kembali beraksi di Equatorial Guinea dan selepas mengalahkan Ghana, mereka sekadar seri dengan Afrika Selatan dan tewas kepada Algeria untuk sekali lagi tersingkir di pusingan pertama.

Jurulatih dan bekas pemain kebangsaan Aliou Cisse yakin Senegal tidak akan melakukan kesilapan sama kali ini.

“Mungkin kami terlalu yakin pada dua kempen sebelum ini dan terpengaruh dengan dakwaan media yang mengatakan kami antara pasukan pilihan,” katanya.

“Saya percaya pemain kini merendah diri dan kami hanyalah salah satu pencabar di Piala Negara Afrika, sama seperti pasukan lain.

“Kami berupaya untuk menjadi juara dan membawa pulang piala ke Senegal buat kali pertama tapi terlalu banyak perlawanan sukar yang menanti.”

Menewaskan Tunisia 2-0 Ahad lalu menerusi jaringan penggempur Liverpool Mane dan Kara Mbodj memberi petanda bahawa Cisse dan anak buahnya sudah memulakan kempen dengan langkah kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 9:00 AM