Agensi

Jakarta: Ketegasan badan pencegah rasuah Indonesia menyekat calon ditunjuk Presiden Jokowi untuk menduduki jawatan Ketua Polis Indonesia mencetuskan ‘perang’ baru di negara itu.

Awalnya sekumpulan pengguna media sosial menggerakkan kempen hashtag #JeSuisKPK (Saya KPK) merujuk kepada agensi Komisi Pembanterasan Rasuah.

Ia dikesan mula muncul di Twitter sejak kelmarin dan ia diilhami kempen pasca serangan pengganas di pejabat majalah Charlie Hebdo di Paris, Perancis minggu lalu.

Kebanyakan tweet menggunakan hashtag itu dibuat untuk menyindir polis dan parti politik yang menyokong pencalonan Budi Gunawan sebagai Ketua Polis Indonesia.

Penggunaan hashtag itu mencapai puncaknya pada jam 5 pagi semalam dengan purata 35 tweet dimuat naik pada setiap jam.

Nama Budi menjadi perhatian apabila bekas pengawal Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Sukarnoputri itu dicalonkan Jokowi.

Bagaimanapun, proses itu tergendala apabila KPK mengumumkan agensi itu menyiasat Budi kerana salah laku dan memiliki kekayaan melebihi kemampuan.

Sementara itu, petisyen dibuat Indonesia Corruption Watch (ICW) terus mendapat sokongan apabila sehingga jam 4 petang semalam, hampir 20,000 orang sudah menandatanganinya.

Petisyen itu dicetuskan pegawai ICW, Emerson Yuntho dan menyasarkan supaya Jokowi menarik balik pencalonan Budi.

Petisyen itu bertajuk: “Jokowi, jangan menutup mata” dan menggunakan hashtag #TarikBudi untuk mengumpul sokongan pengguna Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:04 AM