SUM Chang Keong (tengah) menunjukkan barangan mangsa yang berjaya ditemui semula dengan tertangkapnya dua remaja.
SUM Chang Keong (tengah) menunjukkan barangan mangsa yang berjaya ditemui semula dengan tertangkapnya dua remaja.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Dua remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes ragut di kawasan Pasir Puteh di sini, diberkas dalam satu serbuan polis pagi semalam.

Serbuan kira-kira 11 pagi di rumah di Taman Desa Aman, di sini itu, dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Pasir Puteh dan kedua-dua suspek bertindak melarikan diri ketika cuba ditahan hingga berlaku pergelutan sebelum mereka diberkas.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kedua-dua suspek berkenaan dipercayai terbabit dalam satu kes ragut membabitkan seorang wanita berusia 49 tahun pada 6 Januari lalu.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang berjalan diragut dua lelaki yang menaiki motosikal hingga mengakibatkan beg tangan mangsa dilarikan dan mangsa cedera akibat terjatuh.

"Susulan daripada itu, hasil maklumat yang diperoleh, satu serbuan dilakukan semalam dan berjaya menahan dua suspek, sebelum siasatan lanjut membawa kepada penemuan semula beberapa barangan mangsa," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit turut dipeecayai terbabit dalam beberapa kes samun kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah ini dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 11:03 AM