Mohd Ali (dua dari kanan) menunjukkan sepucuk pistol dan 14 butir peluru serta barangan rampasan pada sidang media kes pecah rumah di IPD Ipoh hari ini. Foto Abdullah Yusof
Mohd Ali (dua dari kanan) menunjukkan sepucuk pistol dan 14 butir peluru serta barangan rampasan pada sidang media kes pecah rumah di IPD Ipoh hari ini. Foto Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


DUA ahli Geng Ben Tak ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah rumah di Pasir Puteh di Ipoh pada awal bulan lalu yang membabitkan kerugian lebih RM500,000.

Kedua-dua suspek berusia 45 tahun dan 39 tahun ditahan dalam serbuan di kawasan kondominium di Pasir Puteh dalam serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 3.35 petang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, serbuan dilakukan hasil siasatan terhadap kes samun yang dilaporkan seorang mangsa berusia 21 tahun yang memaklumkan rumah keluarganya disamun dua lelaki yang bersenjatakan pistol.

“Suspek melarikan barang kemas bernilai RM100,000 dan wang tunai berjumlah RM61,000 serta sebuah kereta mewah bernilai RM350,000 dalam kejadian 5.15 pagi pada 3 Jun lalu,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, hasil serbuan dan penahanan suspek itu, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher M9-A1 bersama 14 butir peluru yang disimpan dalam but belakang sebuah kereta mewah yang dilarikan dari rumah mangsa.

“Siasatan awal mendapati pistol berkenaan dibeli oleh suspek berusia 39 tahun di Thailand dengan harga RM7,000 beberapa hari sebelum kejadian samun itu berlaku.

“Suspek mendakwa kejadian itu kali pertama dilakukannya menggunakan pistol tetapi siasatan lanjut masih diteruskan berikutan polis menemui beberapa barang lain di unit kondominium yang diserbu,” katanya.

Mohd Ali berkata, polis turut menemui semula beberapa barang yang disamun dari rumah berkenaan termasuk kereta mewah jenis Lexus dan 10 botol minuman keras yang dianggar bernilai RM10,000.

“Bagaimanapun, barang kemas dan wang tunai milik mangsa tidak ditemui berikutan peti besi yang dilarikan mereka itu dibuang di lokasi lain selepas gagal dibuka,” katanya.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu dan semakan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan jenayah, judi serta dadah, manakala suspek kedua pula mempunyai satu rekod lampau membabitkan jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:02 PM