IPOH 15 DECEMBER 2016.  Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong menunjukkan gambar dua beradik yang berjaya diberkas kerana dipercayai terbabit dalam kes curi sekitar Ipoh pada sidang media di IPD Ipoh. NSTP/L.MANIMARAN
IPOH 15 DECEMBER 2016. Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong menunjukkan gambar dua beradik yang berjaya diberkas kerana dipercayai terbabit dalam kes curi sekitar Ipoh pada sidang media di IPD Ipoh. NSTP/L.MANIMARAN
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Dua beradik lelaki yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 20 kes kecurian sekitar bandar raya ini berjaya diberkas pada Isnin lalu.

Kedua-dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu diberkas di rumah mereka di Kampung Pasir Puteh, di sini pada 11 pagi oleh pasukan polis yang mendapat maklumat, gambaran fizikal serta kenderaan digunakan suspek yang turut menular dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua beradik terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan curi sejak awal tahun ini.

"Suspek giat mencuri barangan seperti kasut, bateri kereta dan besi di kawasan taman perumahan sekitar Pasir Puteh, Pasir Pinji dan Simpang Pulai, di sini dengan menaiki motosikal terutama pada waktu siang ketika penghuni taman keluar bekerja.

"Ujian air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif heroin," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan polis percaya suspek terbabit dalam sekurang-kurangnya 20 kes curi dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan barangan yang dicuri dua beradik itu.

Katanya, dua beradik itu kini direman sehingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 12:46 PM