AKTIVITI gotong-royong menyediakan bahan masakan.
AKTIVITI gotong-royong menyediakan bahan masakan.

Berkongsi keriangan dan kebaikan bersama individu lain bukanlah satu perkara yang sukar. Memberi kebaikan bukan hanya kepada orang tertentu. Malah, kita tidak perlu memiliki ba­nyak wang untuk berbuat kebaikan kerana ia boleh dilakukan sesiapa saja dalam pelbagai cara-tanpa mengenal batasan bangsa dan agama.

Peluang untuk berbuat baik sentiasa terbuka luas sama ada kepada orang sekeliling mahupun yang tinggal berjauhan dari kita. Pada penghujung 2014, sekumpulan sukarelawan Kindness Dot My (Kindness) bergerak ke Kampung Sentoi, Pos Betau, Pahang untuk program bersama masyarakat Orang Asli di sana.

Menurut pengasas Kindness Dot My, Muhammad Kamarulazizi, ziarah kali kedua itu adalah ­kesinambungan daripada kunjungan pertama pada awal tahun lalu.

"Pada 26 Disember 2014, tepat jam 10 malam seba­nyak dua van dan tiga kereta memulakan perjalanan dari Asrama Darul Falah (ASDAF), Kuala Lumpur ke Kampung Sentoi.

"Kami sampai di lokasi utama pada 27 Disember jam 5 pagi dan misi kali ini adalah memberi fokus kepada aktiviti bermesra dengan kanak-kanak orang asli.

"Pada masa sama, ­beberapa projek rutin turut ­dijalankan seperti Projek Alat Tulis, Projek Vitamin C dan Projek WordRocks. ­Gotong-royong memasak dan aktiviti sukaneka memenuhi program kali ini bagi menambah keseronokan kepada penduduk kampung yang terbabit," katanya.

Di sebelah malam, masyarakat orang asli di kampung berkenaan mengadakan acara sewang khusus untuk menyambut kedatangan sukarelawan.

Sewang adalah acara istimewa dan jarang dilakukan untuk orang luar. Sewang bagi masyarakat Semai di sini hanya dilakukan apabila ada berlaku kematian.

Kunjungan kali ini juga memberi peluang kepada sukarelawan untuk solat berjemaah di samping mengajar golongan dewasa membaca Iqra dan asas Fardhu Ain bagi penduduk beragama Islam.

Ujar Muhammad, dia merancang meneruskan program berkenaan pada tahun ini. Sesiapa yang berminat untuk turut serta atau menaja bagi projek akan datang, boleh e-mail terus ke [email protected] atau layari laman Facebook di www.facebook.com/kindness.my, Twitter di @Kindnessdotm atau Instagram dengan hashtag #KindnessMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:01 AM