SUKARELAWAN bergambar dengan penduduk kampung.
SUKARELAWAN bergambar dengan penduduk kampung.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Dengan satu tujuan ingin mencurahkan tenaga kepada golongan memerlukan, pada 26 hingga 28 Februari lalu Kindness Malaysia dengan kerjasama Asrama Darul Falah (ASDAF) menganjurkan Projek Orang Asli bertempat di Kampung Sentoi, Pos Betau, Pahang.

Seramai 30 sukarelawan turut serta dalam menjayakan projek ini yang sudah semestinya memberikan kesan positif kepada penduduk kampung. Kampung Sentoi menjadi pilihan kerana ia perkampungan orang asli yang mempunyai penduduk terdiri daripada suku kaum Semai dan Bateq.

Kampung ini mempunyai 300 penduduk yang kebanyakannyak kanak-kanak. Pendapatan utama penduduk di sini ialah hasil hutan dan kebun yang diusahakan sendiri.

Aktiviti bermula selepas bersarapan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang mendapat sambutan menggalakkan. Kemudian disusuli acara sukaneka seperti bawa bola pingpong dengan sudu dan meniup belon untuk penduduk kampung.

Pada masa sama bahagian penyediaan makanan mula menyediakan makanan tengah hari. Selepas masing-masing menikmati juadah dan menunaikan solat Zuhur, orang kampung melakukan aktiviti bebas dengan merehatkan badan di sungai.

Selesai solat Asar acara sukaneka disambung semula membabitkan kanak-kanak dan dewasa. Sukaneka kanak-kanak diteruskan dengan acara isi air dalam botol dan mencari gula-gula dalam tepung manakala untuk dewasa pula menyumpit dan boling kelapa. Acara menyumpit mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung kerana ia tradisi orang asli untuk memburu binatang hutan.

Pada malamnya pengisian tazkirah disampaikan Ustaz Karim diikuti de­ngan persembahan upacara sewang. Sewang adalah upacara berbentuk ritual mengikut tujuan tertentu yang tamat pada jam 12 tengah malam.

Majlis berakhir dengan penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung yang membantu menjayakan program ziarah ini serta hadiah pertandingan mewarna.

Menurut Penyelaras Projek Kindness Malaysia, Fatin Amira Nabila Tauran, aktiviti ini memberikan makna yang cukup mendalam bukan saja kepada sukarelawan, tetapi juga penduduk kampung. Selain dapat menyampaikan amanah dan sumbangan daripada penderma aktiviti ini mampu mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

“Terima kasih kepada penderma yang memberi sumbangan dari segi wang ringgit mahupun barang keperluan. Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mereka menjalani kehidupan seharian. Kepada sukarelawan, semoga pengalaman ini digunakan dalam kehidupan seharian untuk terus memberi kebaikan kepada sesiapa saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 5:47 AM