Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pusat kecergasan Celebrity Fitness dengan kerjasama Yayasan AIDS Malaysia (MAC) mengadakan sesi senaman zumba menarik bertemakan Zumba Dengan Satu Perbezaan (WAD).

Acara amal di Amfiteater Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade (MECC) di ibu negara itu disertai lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli pusat kecergasan berkenaan serta orang ramai.

Selain itu, beberapa selebriti tempatan seperti Choo Mei Sze, Dennis Gan, Henley Hii, Eizlan Yusof dan Sean Lee turut hadir memberikan sokongan.

Senaman berkenaan dikendalikan jurulatih pusat kecergasan terbabit iaitu Sunny Cheong, Deno Au Yong dan Alex Phang.

Naib Presiden Kanan Celebrity Fitness Malaysia Choi Kwang Ho berkata, untuk menyertai acara amal berkenaan, ahli hanya diperlukan membayar RM40 manakala orang awam, RM50.

Jumlah keseluruhan kutipan yang diterima iaitu RM15,000 kemudian disalurkan kepada yayasan berkenaan bagi membantu usaha merawat, menjaga serta melaksanakan pelbagai program berkaitan.

Katanya, HIV dan AIDS bukan baru dalam kalangan masyarakat di negara ini namun ia kurang diperkatakan.

"Ia dianggap isu yang sensitif kerana masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap HIV dan AIDS.

Jumlah mereka yang terjejas akibat HIV dan AIDS juga dikatakan semakin meningkat.

"Untuk itu, kami mengadakan program Zumba WAD dengan dua objektif utama iaitu mencari dana bagi membantu yayasan dan pada masa sama, meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai HIV dan AIDS," katanya.

Pengarah MAC Jasmin Jalil berkata, pihaknya berterima kasih dengan inisiatif yang dianjurkan pusat kecergasan.

Kata Jasmin, usaha untuk mengatasi penularan HIV ini bukan tanggung-jawab satu pihak saja sebaliknya memerlukan sokongan pelbagai pihak terutama masyarakat .

"Acara ini menjadi platform ideal bagi memupuk kesedaran me-ngenai HIV dan AIDS serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

"Pihak yayasan menghargai usaha berkenaan dan dana yang diterima akan disalurkan kepada program berkaitan," katanya.

Sementara itu, peserta Jessy Chong, 40-an berkata, dia membawa dua anak lelaki berusia 12 dan 10 tahun untuk menyertai senaman berkenaan.

Meskipun pada awalnya anaknya enggan kerana malu selain kurang menggemari tarian, selepas diterangkan mengenai tujuan utama kegiatan amal itu barulah mereka setuju menyertainya.

"Kami sampai seawal jam 7 pagi dan mengambil tempat sedikit ke belakang bagi memberi lebih ruang kepada anak.

"Mujurlah, selepas beberapa ketika, mereka berdua mulai seronok dan kemudian mengikuti senaman itu sehingga habis.

"Saya berpendapat program sebegini perlu diteruskan pada masa depan kerana ia bukan saja mendidik masyarakat mengenai aspek kesihatan badan, malah pada masa sama turut membantu golongan memerlukan," katanya yang juga ahli pusat kecergasan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM