Malik Muhamad


MOHD Kamal Abdullah, 61, diberikan pas masuk percuma khas oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu kerana memang dikenali sebagai penyokong tegar pasukan Terengganu dan T-Team.

Selain Mohd Kamal, ada seorang lagi OKU turut menerima keistimewaan itu setakat ini.

Timbalan Presiden 1 PBSNT Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, Mohd Kamal adalah seorang penyokong setia yang istimewa kerana dia sanggup berkorban masa dan penat lelah semata-mata untuk menyokong dan minatnya kepada pasukan dari Terengganu.

"Seingat saya, sejak tahun 1970-an lagi Mohd Kamal adalah peminat setia skuad Terengganu dan sentiasa berkunjung ke stadium untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Penyu setiap kali beraksi.

"Boleh saya simpulkan memang Mohd Kamal adalah peminat tegar skuad Terengganu dan T-Team kerana dia tidak memilih perlawanan untuk ke stadium dan sentiasa ada di tepi padang tanpa mengira cuaca sama ada panas atau hujan.

"Oleh sebab itu, PBSNT menghargai pengorbanan Mohd Kamal dan memberikannya pas masuk percuma untuknya menyaksikan perlawanan bola sepak selain menyediakan tempat khas di tepi padang berdekatan pintu masuk utama yang berbumbung," katanya.

Mohd Kamal yang berkerusi roda setiap kali ke stadium kerana lumpuh sebelah kiri badan akibat jatuh pokok sebelum diserang demam panas ketika berusia sembilan tahun mendapat perhatian ramai apabila gambarnya bersama pemain import Kedah Liridon Krasniqi dalam keadaan menangis selepas aksi separuh akhir kedua saingan Piala FA di SSINS Sabtu lalu.

Mengulas lanjut mengenainya, Wan Nawawi berkata, PBSNT tidak mempunyai masalah untuk membenarkan OKU lain yang tidak boleh berjalan dan hanya bergantung dengan kerusi roda untuk memasuki stadium menyaksikan perlawanan secara percuma.

Menurutnya, setakat ini pemegang kad OKU lain dibenarkan memasuki stadium dengan prosedur biasa iaitu diskaun separuh harga tiket dan dibenarkan untuk berada di tempat duduk berbumbung.

"Setakat ini tidak ramai peminat setia dalam kalangan OKU yang hadir ke stadium iaitu lebih kurang antara tiga hingga lima orang saja, namun dalam masa sama PBSNT tetap berterima kasih kerana tetap setia menyokong pasukan kesayangan mereka setiap kali beraksi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi T-Team, Aidi-Naim Mohamad Samsani berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk membenarkan pemegang kad OKU masuk secara percuma menyaksikan perlawanan membabitkan pasukannya.

Menurutnya, pihaknya juga bersedia untuk menyediakan keperluan sewajarnya kepada OKU yang ingin menonton perlawanan di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 10:22 PM