Jakarta: Lebih seribu hiasan bunga bagi menghargai sumbangan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama dan timbalannya, Djarot Saiful Hidayat dihantar ke bangunan Balai Kota sejak beberapa hari lalu.

Pada minggu lalu, satu mesej tersebar di media sosial meminta sesiapa yang mahu mengucapkan terima kasih kepada Basuki atau dikenali sebagai Ahok supaya menghantar hiasan bunga ke bangunan berkenaan.

Sejak beberapa hari lalu beratus-ratus hiasan bunga lengkap dengan ucapan diletakkan di beberapa lokasi di hadapan Balai Kota yang menempatkan pejabat gabenor.

Beratus-ratus penduduk juga dilihat datang ke Balai Kota semalam bagi memberi sokongan dan mengucapkan terima kasih kepada Ahok.

“Pak Ahok dan Pak Djarot, walau tiada kesedihan terpancar di wajah tetapi kamu terus tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Terima kasih,” tulis satu nota yang dihantar Elisabeth, Endah, Entin dan Erlina.

“Terima kasih untuk segalanya. Kamu adalah gabenor terbaik yang pernah kami miliki,” kata satu ucapan lagi.

Ahok dan Djarot bakal melepaskan jawatan mereka selepas kiraan awal ketika pilihan raya gabenor pada minggu lalu menunjukkan mereka tewas dengan peratusan yang besar.

Bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan bakal dilantik gabenor Jakarta yang baru tidak lama selepas keputusan rasmi diumumkan bulan depan.

Ahok yang beragama Kristian mendapat pujian penduduk kerana usahanya menyelesaikan masalah di Jakarta tetapi sokongan terhadapnya jatuh mendadak selepas dia didakwa menghina agama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 10:25 AM