SEKUMPULAN anggota kumpulan Islam melaungkan slogan dan mendesak Ahok ditangkap. - AP
SEKUMPULAN anggota kumpulan Islam melaungkan slogan dan mendesak Ahok ditangkap. - AP
AHOK duduk di kerusi tertuduh ketika didakwa di Mahkamah Daerah Jakarta Utara di Jakarta semalam atas tuduhan menghina agama Islam. - AP
AHOK duduk di kerusi tertuduh ketika didakwa di Mahkamah Daerah Jakarta Utara di Jakarta semalam atas tuduhan menghina agama Islam. - AP
Reuters

Jakarta: Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama mengaku tidak bersalah ketika didakwa di sebuah mahkamah di sini semalam atas tuduhan menghina al-Quran.

Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok kelihatan sebak dan beberapa kali mengesat air mata sepanjang perbicaraan berlangsung.

Ahok berkata, dia tidak berniat untuk menghina sesiapa ketika berucap di Kepulauan Seribu pada 27 September lalu.

Dalam ucapan berkenaan, Ahok mendakwa lawannya menggunakan ayat suci al-Quran bagi menipu pengundi supaya tidak mengundinya.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan kumpulan Islam yang kemudian melancarkan beberapa bantahan besar-besaran terhadap Ahok di Jakarta.

“Ucapan saya itu jelas tidak berniat untuk mentafsirkan (al-Quran) apatah lagi mahu menghina Islam atau ulama,” katanya selepas tuduhan terhadapnya dibacakan.

Menurutnya, komen itu ditujukan kepada lawan politiknya yang cuba bersaing secara tidak adil dalam pilihan raya dengan mendakwa pengundi tidak boleh menyokong calon bukan Islam.

Ahok yang berketurunan Cina dan beragama Kristian itu berusaha mengekalkan jawatannya dalam pilihan raya gabenor pada Februari depan.

Dia juga memberitahu mahkamah mengenai hubungan rapat dengan keluarga angkatnya yang beragama Islam di pulau Bangka.

“Saya sangat sedih selepas dituduh menghina Islam kerana tuduhan ini sama seperti menuduh saya menghina ibu bapa dan adik beradik angkat saya yang lain,” jelasnya.

Pendakwa raya, Ali Mukartono berkata, keterangan Ahok itu hanya satu penipuan dan dia jelas menghina orang Islam.

Tambahnya, majlis ulama negara itu juga mengisytiharkan ucapan Ahok itu sebagai menghina agama Islam.

Bagaimanapun, peguam Ahok menegaskan, Ahok tidak pernah berniat melakukan kesalahan itu dan melahirkan kebimbangan bahawa kes itu dibuat secara tergesa-gesa.

Sekiranya didapati bersalah Ahok berdepan hukuman penjara hingga lima tahun.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes itu sehingga 20 Disember ini.

Sementara itu, beratus-ratus penentang dan juga penyokong Ahok berada di luar mahkamah, dan dikawal ketat polis sepanjang perbicaraan berlangsung.

Keadaan itu menyebabkan Ahok terpaksa dibawa keluar dari kawasan mahkamah dengan menaiki kenderaan perisai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 8:39 AM