Agensi

Jakarta: Beribu-ribu penjawat awam di Jakarta bakal dikenakan tindakan disiplin selepas tidak datang bekerja semalam selepas bercuti selama sembilan hari sempena sambutan Aidilfitri.

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok sebelum ini memberi amaran untuk memotong gaji penjawat awam yang tidak datang bekerja.

Timbalan Gabenor Jakarta, Djarot Saiful Hidayat berkata, daripada 39,913 penjawat awam, 6,072 tidak datang bertugas pada hari pertama bekerja semalam.

Katanya, 1,733 penjawat awam lagi didapati datang lewat ke pejabat.

Ujarnya, jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana 140 alat perakam waktu di beberapa pejabat kerajaan tidak berfungsi semalam.

“Ini sudah melampau. Kerajaan beri cuti selama sembilan hari tetapi mereka (penjawat awam) masih tidak datang bekerja,” katanya.

Ahok mengarahkan Djarot memantau aktiviti penjawat awam termasuk tugas mereka serta kehadiran di pejabat.

“Kerana beberapa mesin perakam waktu tidak berfungsi, kami tidak tahu jumlah sebenar penjawat awam yang tidak datang bertugas.

“Kami juga membuat siasatan lanjut mengenai mengapa terlalu banyak mesin perakam waktu yang tidak berfungsi,” jelasnya.

Menurutnya, pada masa akan datang, dia akan menugaskan seseorang untuk memastikan mesin perakam waktu sentiasa berfungsi, lebih-lebih lagi selepas musim cuti panjang.

Djarot sebelum ini berjanji untuk mengenakan tindakan tegas terhadap penjawat awam yang ponteng bekerja selaras arahan dikeluarkan Ahok.

Penjawat awam yang didapati tidak datang bertugas tanpa alasan yang kukuh boleh dikenakan tindakan disiplin seperti memotong gaji atau dipecat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:48 AM