Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Lelaki berusia 42 tahun yang terbabit dalam sembilan kes samun ditahan bersama dadah dan barangan curi bernilai lebih RM100,000, hari ini.

Dalam serbuan 2 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menyerbu sebuah bilik hotel susulan satu kejadian pecah kereta di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil serbuan, pihaknya menahan seorang lelaki sebelum menemui beberapa barang kemas dan barang berharga.

Beliau berkata, selain itu juga polis menemui kereta yang dilaporkan hilang di Kamunting, Perak.

"Polis juga menemui beberapa telefon pintar dan beberapa paket dadah.

"Suspek mengaku sudah empat hari menyewa bilik di hotel berkenaan dan berasal dari Lembah Klang," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek ditahan di lokap IPD sementara memperoleh perintah reman esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 8:12 PM
Barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis
Barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan polis