SYABU dan peralatan menghisap dadah dirampas daripada lima lelaki dan seorang remaja perempuan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Baru, Prai, kelmarin. Gambar kecil, Nik Ros Azhan. FOTO ihsan polis
SYABU dan peralatan menghisap dadah dirampas daripada lima lelaki dan seorang remaja perempuan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Baru, Prai, kelmarin. Gambar kecil, Nik Ros Azhan. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini


LIMA lelaki termasuk dua di bawah umur dan seorang perempuan berusia 19 tahun diberkas polis bersama 34 paket dadah jenis syabu di sebuah pangsapuri di Jalan Baru, Prai, Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam serbuan itu, semua suspek lelaki berusia 17 hingga 27 tahun dan perempuan itu dicekup ketika bersembunyi di dalam salah sebuah unit di pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan itu dibuat hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan itu.

Katanya, pada 6 petang sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu lokasi kejadian sebelum pintu utama unit berkenaan terpaksa dipecahkan selepas suspek enggan membukanya.

“Hasil pemeriksaan di salah satu bilik, polis menemui empat lelaki sedang duduk di atas lantai sebelum ditahan untuk diambil keterangan.

“Seterusnya, ketika pemeriksaan di bilik kedua yang berkunci, polis menemui seorang suspek lelaki dan perempuan sedang baring bersama 16 paket plastik lutsinar di dalamnya berisi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 10.71 gram (g),” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan di bilik ketiga rumah, polis menjumpai 18 paket plastik lutsinar di dalamnya berisi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.75g dan sepeket plastik di dalamnya berisi tiga biji pil seberat 0.35g.

Beliau berkata, selain itu, polis menjumpai alat menghisap dadah, bungkusan plastik, alat penimbang digital dan dua kad akses rumah.

“Semua barang kes dirampas manakala enam suspek berkenaan ditahan dan hasil saringan awal air kencing, lima suspek lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 5:20 PM