PENUNJUK perasaan melaungkan slogan ketika perhimpunan membantah keputusan pungutan suara di Istanbul, semalam.   - EPA
PENUNJUK perasaan melaungkan slogan ketika perhimpunan membantah keputusan pungutan suara di Istanbul, semalam. - EPA

Ankara: Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu semalam berkata, laporan kritikal oleh pemerhati Eropah berhubung pungutan suara yang meluaskan kuasa Presiden Recep Tayyip Erdogan mengandungi beberapa kesilapan yang dipercayainya disengajakan.

Pemantau daripada Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) serta Majlis Eropah mendakwa pungutan suara diadakan Ahad lalu itu tidak seimbang.

“Laporan OSCE itu tidak boleh dipercayai kerana tidak objektif dan amat berat sebelah,” kata Mevlut pada sidang media di Ankara.

Sementara itu Perdana Menteri Binali Yildirim berkata, parti pembangkang berhak memfailkan bantahan terhadap keputusan pungutan suara berkenaan, tetapi memberi amaran bantahan jalanan tidak boleh diterima.

Katanya, lembaga pilihan raya akan memutuskan rayuan pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan, untuk membatalkan keputusannya.

Parti pembangkang mendakwa berlaku pelbagai penyelewengan terutama keputusan lembaga pilihan raya menerima kertas undi yang tiada cop khas, seperti ditetapkan undang-undang Turki.

Yildirim berkata, usaha mempertahankan hak perlu mengikut proses perundangan dan dia menggesa pembangkang menerima keputusan berkenaan.

Ribuan orang menunjuk perasaan di Istanbul dan Ankara sejak keputusan pungutan suara itu diumumkan yang memulakan transformasi sistem kerajaan Turki daripada berparlimen kepada presiden. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:24 AM