ANGGOTA tentera Turki mengusung keranda berisi mayat Karlov dalam satu majlis penuh penghormatan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara, sebelum ia diterbangkan ke Moscow, semalam.  - AFP
ANGGOTA tentera Turki mengusung keranda berisi mayat Karlov dalam satu majlis penuh penghormatan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara, sebelum ia diterbangkan ke Moscow, semalam. - AFP

Moscow: Russia semalam berkata, adalah terlalu awal untuk merumuskan siapa di belakang pembunuhan duta negara itu ke Turki, Andrei Karlov kelmarin.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu sebelum ini menyalahkan tokoh agama negara itu yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat, Fethullah Gullen.

“Sukar untuk membuat rumusan dalam kes ini. Terlalu awal,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada wartawan.

Mevlut mendakwa Fethullah bertangungjawab dalam pembunuhan Karlov ketika bercakap menerusi telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, kelmarin.

Gullen juga didakwa sebagai perancang cubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Karlov ditembak sembilan kali di belakang oleh anggota polis Turki, Mevlut Mert Altintas ketika berucap merasmikan pameran fotografi di Ankara.

Mayatnya tiba di Moscow semalam dan akan dikebumikan hari ini.

Selepas menembak Karlov, Mevlut, 23, melaungkan takbir dan berkata, dia membunuh duta Russia itu kerana membela nasib penduduk Aleppo dan Syria. Dia bagaimanapun mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan tidak lama selepas itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:56 AM