Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Atlet compound negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh mahu meneruskan rentak konsisten apabila tampil pada Kejohanan Memanah Universiti Asia yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

Selepas meraih perak pada siri kedua Piala Asia dan dua emas di Kejohanan Kebangsaan minggu lalu, dia mempamerkan panahan konsisten apabila mengakhiri sesi penentuan ranking kedua acara individu semalam.

Dia melakukan sedikit kesilapan dan terpaksa akur pada kedudukan kedua dengan mengumpul 688 mata, ketinggalan empat mata kepada pemanah Taiwan Chen Yi-hsuan.

“Ini kejohanan ketiga saya tahun ini. Jadi saya hanya fokus untuk meneruskan rentak konsisten dalam pertandingan.

“Saya tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi walaupun secara peribadinya mahu menyumbangkan emas untuk negara,” katanya.

Jelas pemenang tiga emas Sukan SEA 2015 itu, kejohanan di USIM tetap mencabar bagi dirinya kerana pemanah dari Taiwan dan Singapura bertaraf kebangsaan.

“Mereka pemanah kebangsaan, jadi secara tidak langsung tahap kejohanan ini agak tinggi. Saya juga berpeluang menilai tahap diri sendiri,” katanya.

Seorang lagi pemanah kebangsaan Nurul Syazhera Mohd Asmi turut mempamerkan persembahan baik dalam penentuan ranking apabila berada pada kedudukan keempat dengan 681 mata.

Kejohanan berlangsung di Kompleks Sukan Tunku Najihah itu yang mempertandingkan acara compound dan recurve berlangsung sehingga Ahad ini turut menarik penyertaan pemanah dari China dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 10:31 AM