JUWAIDI cipta rekod baharu kebangsaan acara 50 meter.
JUWAIDI cipta rekod baharu kebangsaan acara 50 meter.
Azlan Muhammad Zain


PEMANAH compound, Mohd Juwaidi Mazuki bermula rentak positif pada Kejohanan Memanah Asia apabila menduduki tempat pertama selepas pusingan penentuan ranking selain memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 50 meter.

Dia mengumpul 707 mata untuk menduduki tempat pertama dari 48 pemanah manakala rakan sepasukan, Zulfadhli Ruslan kedua apabila hanya dibezakan satu mata selepas melakukan 72 panahan pada saingan di Bangkok, Thailand yang berlangsung hari ini.

Juwaidi mengatasi rekod sendiri yang dilakarkan semasa Sukan Asia 2018 apabila melakukan 705 mata.

Keputusan itu dilihat positif apabila mengatasi barisan atlet terbaik Asia terutamanya empat pemanah Korea Selatan yang juga kuasa dunia dalam sukan ini.

"Saya tidak terlalu memikirkan pencapaian itu namun saya fikir latihan selama sebulan sebagai atlet sepenuh masa di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil membuahkan hasil. Ia sesuatu yang tidak dijangka dengan keadaan berangin dan panas di sini.

"Tiada tekanan apabila berada di ranking pertama untuk meneruskan saingan namun yang pasti ia membakar semangat kami untuk menghadapi Sukan SEA Filipina selepas ini," kata Juwaidi.

Pemenang lima emas di siri Piala Asia berkenaan akan bertemu Yen Ka King dari Hong Kong di pusingan kedua esok selepas mendapat bye di pusingan pertama manakala Zulfadhli akan bertemu Kadek Dian Vanagosi dari Indonesia.

Saingan di Kejohanan Memanah Asia adalah yang terakhir untuk skuad memanah negara sebelum terbang ke Filipina untuk merealisasikan misi meraih lima emas di Sukan SEA.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 7:02 PM