Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pekerja warga Bangladesh maut tertimbus apabila lubang pembetungan sedalam empat meter runtuh di hadapan Balai Polis Lukut, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu mangsa dikenali sebagai Basad Bepary, 37, disahkan maut di lokasi runtuhan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa menggali lubang untuk kerja pembetungan dan tiba-tiba tanah terbabit runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.05 pagi.

Katanya, sembilan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson bergegas ke lokasi untuk menyelamat mangsa.

"Mangsa ditemui beberapa minit kemudian namun disahkan meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 12:28 PM
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa tertimbus. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa tertimbus. FOTO Mohd Khidir Zakaria