MAYAT mangsa ditemui selepas usaha dilancarkan selama dua jam.
MAYAT mangsa ditemui selepas usaha dilancarkan selama dua jam.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa dua jam sebelum berjaya mengeluarkan mayat seorang buruh warga Bangladesh yang tertimbus dalam lubang sedalam empat meter di pekan Lukut, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa Basad Bapery, 37, melakukan kerja bawah tanah milik sebuah syarikat pembetungan sebelum berlaku runtuhan namun seorang rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, mangsa ditemui dua jam kemudian dan disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Katanya, pasukan mencari dan penyelamat mengeluarkan mangsa terperangkap bawah runtuhan tanah hampir dua jam kemudian.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca struktur tanah lemah menyebabkan ia runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 4:12 AM