Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hukuman menggantung keahlian seumur hidup boleh dikenakan ke atas ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Mohd Radzi Mat Rashid berikutan tindakannya yang kerap mengkritik badan induk itu.

Setiausaha Agung KLFA Ramlan Askolani menegaskan hukuman seperti itu sememangnya termaktub dalam Artikel 87 perlembagaan persatuan itu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihaknya tidak mahu mengambil tindakan seperti itu, sebaliknya bersedia untuk bertemu sendiri dengan Radzi untuk membincangkan rasa tidak puas hatinya terhadap pemilihan ahli jawatankuasa baru KLFA penggal 2014-2018 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), September tahun lalu.

“Saya sendiri memang sentiasa terbuka untuk bertemu dengan dia pada bila-bila masa. Sekarang ini terpulang kepadanya.

“Nampaknya sudah terlalu kerap dia mengkritik KLFA dan kami juga ada hak untuk mengambil tindakan ke atasnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas kehendak Radzi yang mahu beliau menjawab mengikut apa yang terkandung dalam statut terutama berhubung pelantikan Presiden KLFA Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, Ramlan berkata, segala proses pelantikan itu sememangnya mengikut statut KLFA.

“Nama presiden ketika ini dicadangkan Datuk Astaman Abdul Aziz iaitu presiden terdahulu dan ia dipersetujui oleh semua 53 perwakilan yang hadir pada AGM ketika itu.

“Memang presiden tidak datang kerana ada urusan di luar negara, tetapi perkara itu bukanlah satu masalah besar.

“Asalkan ada pihak mencadangkan namanya dan dipersetujui oleh semua ahli termasuk Radzi sendiri, bermakna pelantikan itu adalah sah dan mengikut statut,” katanya.

Justeru itu, Ramlan mengulangi saranan meminta Radzi bertemu sendiri dengannya.

“Sebelum ini pun kami ada menghantar surat memintanya untuk hadir berbincang dengan kami tapi dia tak mahu datang,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan luahan rasa tidak puas hati Radzi terhadap jawapan Ramlan berhubung pemilihan ahli jawatankuasa KLFA terutama pelantikan Adnan dan meminta badan induk itu menjawab mengikut semua yang dipersoalkan olehnya dengan merujuk kepada statut. Beliau juga akan menggunakan saluran undang-undang untuk menuntut keadilan dan kebersihan dalam persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:25 AM