ADNAN sedia pertahan jawatan. FOTO/NSTP
ADNAN sedia pertahan jawatan. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Penyandang Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikhsan bersedia mempertahankan jawatannya selaku ‘orang nombor satu’ pada kongres badan induk itu, 18 November ini.

Menurut Adnan, beliau mahu terus menyumbangkan bakti kepada persatuan itu sejak mula ditawarkan jawatan presiden empat tahun lalu sekali gus meneruskan lagi transformasi KLFA  ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Pertandingan merebut jawatan presiden ini terbuka kepada semua pihak namun atas permintaan dan kepercayaan ahli gabungan, saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan bagi penggal seterusnya.

“Kalau dilihat rekod empat tahun lalu, jawatan ini ditawarkan kepada saya kerana ahli gabungan memiliki keyakinan bahawa saya mampu menyumbang sesuatu kepada KLFA.

“Selepas empat tahun, ada beberapa perubahan positif yang dapat disaksikan, jadi jika saya sekali lagi diberi peluang, saya akan menggunakan kepakaran dari semua sumber yang ada untuk melakukan yang terbaik demi KLFA,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Adnan yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan berkata, mandat juga perlu segera diberikan oleh ahli gabungan supaya dapat memudahkan lagi ‘kerjanya’ untuk melakukan perancangan ke atas pasukan bagi mengharungi musim baharu.

“Saya sudah ada beberapa perancangan untuk pasukan musim hadapan dan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak, ia bergantung kepada mandat yang akan diberikan ahli gabungan.

“Seandainya saya melakukan perancangan sendiri tetapi berlaku perubahan dalam pengurusan, mungkin mereka tidak bersetuju dengan apa yang sudah saya lakukan,” katanya.

Sebagai rekod, KLFA memiliki 31 ahli gabungan, 19 ahli bersekutu dan 10 ahli jemputan tetapi hanya ahli gabungan yang memiliki kuasa untuk mengundi pada hari pemilihan.

Berdasarkan statut KLFA bagi jawatan Presiden, sekiranya seseorang calon memperoleh 60 peratus atau sekurang-kurangnya 19 undian daripada 31 ahli gabungan, calon diberi mandat terus dan jawatan itu secara automatik tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan.

Setakat ini, dua tokoh sudah menyatakan minat untuk merebut jawatan terbabit iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 3:40 PM