Ramlan akan bawa perkara ke pihak berkaitan. FOTO NSTP
Ramlan akan bawa perkara ke pihak berkaitan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


LAWAN tetap lawan apabila sembilan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang disingkirkan kelmarin akan menggunakan segala kaedah dan platform untuk memastikan nasib mereka terbela.

Malah, Presiden Kelab Petaling Putera yang juga bekas pemain Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara terbabit ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika keadaan memerlukan.

Beliau berkata, tindakan sebelum ini yang mahu mengadakan kongres untuk bertanding jawatan presiden adalah berdasarkan sokongan 14 ahli gabungan lain dengan mengikut apa yang diperuntukan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Katanya, ahli gabungan yang disingkirkan itu hanya menuruti peruntukan yang dikeluarkan PJS sebagai badan sukan tertinggi di negara ini dengan mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM).

“Kami akan bawa perkara ini ke pihak berkaitan termasuk tindakan undang-undang dan pengetahuan FIFA selain tetap lawan bagi memastikan nasib ahli gabungan yang disingkirkan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tindakan yang kami lakukan ini hanyalah mahu melihat pasukan Kuala Lumpur kembali kuat seperti dahulu dan bukannya menghuni tangga tercorot seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya ditemui pada Majlis rumah terbuka Selangor United, hari ini.

Sebelum ini, KLFA memecat sembilan ahli gabungan yang sengaja menimbulkan kekecohan hingga mengakibatkan kongres pemilihan badan induk itu tertangguh sejak Disember tahun lalu.

Perkara itu disahkan Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan pada sidang media sejurus tamat Mesyuarat Agung kali ke-31 di Kuala Lumpur, kelmarin.

Jelas Adnan, keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Siasatan mendapati bahawa, sembilan ahli gabungan berkenaan jelas melanggar statut persatuan yang tidak mengikut saluran betul untuk menyuarakan aduan atau isu berbangkit.

Sembilan kelab dipecat berkuatkuasa Khamis lalu itu adalah Kelab bola sepak Sime Darby, VI Institution, Bukit Bandaraya, Bank Rakyat, Kelab bola Sepak Putrajaya, Petaling Putra, FELCRA, UNIKL dan Subardian Academy.

Terdahulu, kemelut yang melanda KLFA itu membabitkan perebutan pencalonan jawatan menyaksikan kongres persatuan itu digantung PJS sebelum ini.

Namun, kemelut terbabit tidak berpenghujung selepas beberapa aduan antara ‘dua kem’ yang mahu bertanding menyebabkan kongres terbabit terus tergantung sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:36 PM