Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Dia nak gantung saya? Tak ada masalah.”

Demikian cabaran ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Mohd Radzi Mat Rashid kepada Setiausaha Agung KLFA Ramlan Askolani yang berhasrat untuk menggantung keahliannya seumur hidup berikutan tindakannya kerap mengkritik badan induk itu.

Jelas Radzi, Ramlan boleh berbuat demikian tetapi beliau juga memberi amaran untuk mengheret perkara itu ke muka pengadilan.

“Yang saya minta hanyalah untuk KLFA menjelaskan tentang pemilihan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) pada September lalu adakah mengikut statut.

“Tapi kalau mereka nak hukum saya, saya akan lawan dengan memasang peguam,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ditanya adakah beliau bersedia bersemuka dengan KLFA seperti diminta Ramlan menerusi laporan Arena Metro semalam, Radzi berkata dia sudah muak dengan cara sedemikian.

“Benar, mereka ada hantar surat kepada saya meminta untuk berbincang. Tapi masalahnya surat dihantar itu terlalu singkat daripada tarikh perbincangan yang ditetapkan oleh mereka sendiri.

“Lepas itu, perbincangan tidak membabitkan exco lama dan baru serta wakil daripada Pesuruhjaya Sukan. Jadi, bagi saya tak gunalah kalau berbincang tanpa semua wakil itu,” katanya.

Radzi sebelum ini meminta KLFA memberi jawapan dengan jelas berhubung pemilihan ahli jawatankuasa KLFA terutama pelantikan Presiden Datuk Seri Adnan Md Ikhsan adakah mengikut statut.

Begitupun Ramlan menegaskan, Radzi boleh dikenakan hukuman penggantungan keahlian seumur hidup seperti yang termaktub dalam Artikel 87 perlembagaan KLFA kerana sering mengkritik badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 6:18 AM