GUERRA (kanan) dihalang pemain Global Wesley Dos Santos, semalam.
GUERRA (kanan) dihalang pemain Global Wesley Dos Santos, semalam.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Rekod bersih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam kumpulan F saingan Piala AFC lebur apabila skuad bimbingan Benjamin Mora tumbang 2-3 kepada Global FC di Stadium Memorial Rizal di Manila, semalam.

Kekalahan pertama daripada empat aksi peringkat kumpulan itu juga menyaksikan juara musim 2015 itu terpaksa merelakan kedudukan mereka selaku pendahulu kumpulan dirampas Global FC menerusi perbezaan dua mata dengan pasukan dari Filipina itu mengumpul sembilan mata.

Alasan kesukaran beraksi di padang tiruan yang dibangkitkan Mora sebelum ini nyata menjadi kenyataan apabila pemain Harimau Selatan jelas gagal menyesuaikan diri beraksi di gelanggang lawan itu.

Global yang dibelasah teruk 4-0 pada aksi pertama di Stadium Larkin pada 14 Mac lalu mengejutkan pelawat dengan mendahului tiga gol sebelum rehat.

Tuan rumah bermula baik menerusi jaringan mudah Dennis Villanueva pada minit ke-26 selepas menerima hantaran silang Darryl Roberts yang melepasi halangan pertahanan pelawat.

Shu Sasaki dan Amani Aguinaldo menambah tekanan kepada pasukan pelawat apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-32 dan 34 untuk memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Johor DT memperkemaskan aksi dan bekas penyerang JDT II, Gabriel Guerra berjaya merapatkan kedudukan 1-3 pada minit ke-47 melalui rembatan padu dari luar kotak penalti.

Jaringan itu membangkitkan semangat pemain Johor DT untuk memburu gol seterusnya dan sekali lagi Guerra membuktikan ketajamannya menerusi gol kedua pada minit ke-82.

Biarpun Johor DT cuba meningkatkan tekanan untuk memburu gol penyamaan pada lewat aksi, barisan pertahanan tuan rumah kekal ampuh bertahan hingga wisel penamat sekali gus memastikan tiga mata penuh berjaya dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:52 AM