FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Junaidi Ladjana


Sandakan: Tujuh beradik dikhuatiri hilang, manakala ibu bapa mereka ditemui selamat selepas rumah didiami keluarga itu hanyut ke sungai akibat banjir lumpur dan tanah runtuh di kawasan ladang di Sungai Labou Tongod, Sandakan, malam tadi.

Kejadian hanya disedari oleh pekerja di ladang berkenaan selepas mendapati salah sebuah rumah di ladang berkenaan hilang sebelum memaklumkan kejadian itu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) jam 10.30 pagi tadi.

Difahamkan, semua mangsa adalah warga Filipina.

Ketua BBP Keningau Mudi Pengiran berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kita menerima maklumat mengatakan sebuah rumah hanyut ke sungai akibat banjir lumpur dan tanah runtuh susulan hujan lebat sejak petang semalam.

"Hasil pemeriksaan tujuh orang iaitu dua lelaki berusia 17 tahun, dua lagi lelaki berusia 13 tahun manakala tiga adalah kanak-kanak berusia dalam lingkungan lapan tahun.

"Dua lagi mangsa lelaki dan wanita iaitu ibu bapa kepada tujuh mangsa itu berusia lingkungan 40-an ditemui selamat oleh orang awam sebelum dibawa ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah mangsa terletak di tepi sungai dan ketika kejadian keadaan hujan sejak petang semalam menyebabkan berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh.

"Setakat ini, ketujuh-tujuh mangsa belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan.

"Operasi SAR terpaksa ditangguhkan jam 7 malam tadi dan akan disambung semula esok," katanya.

Difahamkan, lokasi kejadian mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari pekan ini dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 9:39 PM