Junaidi Ladjana


SEPULUH rumah dihanyutkan arus deras dalam kejadian di sungai Kampung Pampang, Keningau, kira-kira 3 petang hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni di rumah berkenaan keluar lebih awal sebelum kejadian.

Difahamkan, air sungai Kampung Pampang naik mendadak selepas hujan sejak pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Mudi Pengiran berkata, pihaknya dimaklumkan oleh penghuni sebuah rumah yang dinaiki air di tepi sungai Kampung Pampang.

"Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"Ketika tinjauan, terdapat 10 rumah dihanyutkan arus deras sungai Kampung Pampang. Selain itu, sebuah kenderaan turut dihanyutkan arus sungai.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mudi berkata, pemantauan masih dilakukan oleh anggota bomba.

"Kampung Contoh yang terletak bersebelahan dengan Kampung Pampang turut terjejas selepas lima rumah di kampung berkenaan dinaiki air.

"Operasi membabitkan seramai tujuh anggota bomba dan seorang pegawai operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 9:06 PM
KEADAAN rumah yang dihanyutkan arus deras sungai Kampung Pampang, Keningau. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah yang dihanyutkan arus deras sungai Kampung Pampang, Keningau. FOTO Ihsan Bomba