Riyadh: Dua pengawal sempadan Saudi terbunuh dalam serangan bersenjata termasuk pengebom berani mati di sempadan Iraq awal pagi semalam, serangan dipercayai yang pertama dilakukan Negara Islam (IS) terhadap negara itu.

Kementerian dalam negeri Saudi berkata, serangan dengan unsur pengganas itu melihat tembakan dilepaskan ke arah pengawal sempadan berhampiran Arar.

Selepas berbalas tembakan, seorang daripada penyerang berkenaan berjaya ditangkap tetapi dia meletupkan bom yang diikat pada tubuhnya.

Jurucakap kementerian, Mejar Jeneral Mansour Turki berkata, antara yang cedera termasuk seorang pegawai kanan dikenal pasti media tempatan sebagai ketua unit sempadan Jeneral Oudah al-Belawi. Seorang lagi pegawai turut parah.

Pengebom terbabit turut terbunuh selain rakannya yang ditembak mati dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu.

Sempadan Arab Saudi dengan Iraq yang dipisahkan dengan penghalang serta pagar selain dilengkapi kamera dan radar pernah diserang dengan mortar dari jarak jauh sebelum ini.

Setakat ini belum ada yang mengaku bertanggungjawab bagi kejadian semalam yang berlaku di kawasan gurun terpencil bersebelahan wilayah Anbar di Iraq, lokasi operasi IS dan militia Syiah yang bersekutu dengan Iran.

Penganalisis keselamatan Iraq Mustafa Alani yang mempunyai hubungan rapat dengan menteri dalam negeri Saudi berkata, penggunaan taktik pengebom berani mati mungkin menunjukkan pembabitan IS.

“Ini kali pertama IS menyerang Arab Saudi dan ia mesej yang jelas selepas Saudi menyertai pakatan antarabangsa menentangnya,” katanya.

Tentera Saudi menyertai serangan diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap IS di Syria menyebabkan kumpulan itu menganggap Riyadh mengkhianati umat Islam kerana hubungannya dengan Barat.

Pada masa sama ulama konservatif Saudi pula memandang ideologi IS sebagai ‘terpesong.’ - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:04 AM