GAMBAR meunjukkan tentera UAE mengusung keranda rakan mereka yang terbunuh dalam serangan di Yaman, dalam upacara rasmi di Abu Dhabi, semalam.
GAMBAR meunjukkan tentera UAE mengusung keranda rakan mereka yang terbunuh dalam serangan di Yaman, dalam upacara rasmi di Abu Dhabi, semalam.
Agensi

Abu Dhabi: Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, 45 askarnya yang memerangi pemberontak di Yaman terbunuh dalam letupan di sebuah depoh senjata kelmarin.

Pada masa sama, lima pengawal sempadan Bahrain juga maut pada hari yang sama yang disifatkan sebagai hari terburuk menimpa pasukan dari negara Teluk dalam peperangan dengan pemberontak Houthi.

UAE mengisytiharkan tiga hari berkabung berikutan peristiwa itu.

Kerajaan dalam buangan Yaman berkata, kejadian berlaku akibat letupan yang tidak disengajakan di pangkalan tentera di Marib, wilayah di timur negara berkenaan.

Bagaimanapun, pemberontak Houthi berkata, anggotanya melepaskan tembakan roket yang menyebabkan letupan itu.

Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan ke atas pemberontak itu sejak Mac lalu bagi menghalang kumpulan yang disokong Iran itu daripada menguasai Yaman sepenuhnya dan mengembalikan kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang kini hidup dalam buangan di Riyadh.

UAE sebelum ini berkata, 22 askarnya terbunuh di Yaman kelmarin, tetapi tidak menyebut puncanya.

Sementara itu, pihak berkuasa Bahrain pula berkata, lima tenteranya maut di selatan Arab Saudi, tempat mereka ditempatkan bagi membantu mengukuhkan sempadan Saudi dengan Yaman.

Bagaimanapun, Houthi berkata, mereka mati dalam kejadian sama dengan tentera UAE.

Dalam perkembangan terbaru, pesawat pengebom yang diketuai Saudi melancarkan serangan terbaru semalam, menyasarkan bangunan kerajaan yang dikuasai kumpulan Houthi di Yaman dan unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

Antara sasaran serangan ialah bangunan Kementerian Pertahanan yang menurut saksi, rosak teruk.

Serangan juga disasarkan terhadap pusat pemerintah pasukan keselamatan khas dan kem Ali Abdullah serta kompleks presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:03 AM