KOLEKSI terbaru Eighty One.
KOLEKSI terbaru Eighty One.
Siti Nadirah Hafidzin

Lazimnya golongan muda masa kini sering beranggapan fesyen berasaskan fabrik atau corak batik tidak sesuai dengan usia serta jiwa golongan itu kerana kelihatan seperti ketinggalan zaman dan membosankan.

Ada juga segelintir yang berasa fabrik batik terutama berasaskan sutera terlalu mahal harganya dan tidak berbaloi dimiliki.

Berusaha bagi mengubah persepsi itu serta memelihara keunikan fabrik batik, jenama Eighty One komited dalam memupuk semangat cintakan batik dalam kalangan setiap generasi muda dengan pelbagai rekaan terkini.

Memperkenalkan sentuhan rekaan batik moden yang masih mengekalkan keaslian batik, jenama ini cuba mempelbagaikan jenis rekaan dengan penghasilan baju dan gaun labuh yang boleh disuai padan untuk dijadikan pakaian harian juga sebagai pakaian formal ke pejabat dan majlis keramaian.

Terbaru, Eighty One tampil dengan koleksi Floraya 2017 bermula April yang mengekalkan konsep fesyen berasaskan batik moden tradisional.

Pengasasnya Tia Ghazali berkata, Floraya 2017 memperkenalkan keunikan corak batik bunga-bungaan dengan kombinasi warna lembut pastel untuk meningkatkan aura kewanitaan.

“Ia didatangkan dalam pilihan baju dan gaun labuh yang dihasilkan dengan sentuhan moden namun masih mengekalkan elemen tradisional batik dari segi rekaan, corak dan warna.

“Kami mendapat inspirasi menggunakan bunga-bungaan sebagai corak rekaan serta warna lembut kerana ia sesuai untuk golongan muda yang menitikberatkan trend fesyen terkini,” katanya.

Tia berkata, koleksi itu didatangkan bermula saiz XS hingga XL dengan harga bermula RM79 hingga RM299 untuk baju manakala gaun labuh bermula dari RM79 hingga RM169.

Maklumat mengenai keunikan koleksi batik ini boleh didapati dengan melayari laman web www.eightyone.com.my atau di Facebook Eighty One Closet dan Instagram @eightonecloset.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 3:24 AM