CETAKAN bunga pada fabrik polos menjadikan rekaan gaun labuh berada dalam kelas tersendiri.
CETAKAN bunga pada fabrik polos menjadikan rekaan gaun labuh berada dalam kelas tersendiri.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melihat personaliti pe­ngasas dan pereka Minaz yang bijak bergaya, tidak hairan apa yang dizahirkan menerusi setiap koleksi terkininya menggambarkan inspirasi dan cita rasa dalam penggayaan. Malah pemilik nama Hafiza Abd Hamid ini sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta perkembangan fesyen semasa walaupun dia tidak pernah mengambil sebarang jurusan berkaitan fesyen.

“Oleh kerana minat mendalam terhadap rekaan dan ingin memulakan perniagaan sendiri, saya menghasilkan rekaan gaun labuh dan skirt yang dijual menerusi Facebook. Dengan hanya seorang tukang jahit, saya mengeluarkan 30 helai saja. Tidak sangka semuanya habis dijual dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya yang membuka butik pertama di Johor Bahru, Johor.

Bagi mengetahui cita rasa pelanggan, Minaz menjalankan kajian menerusi laman sosial dan mendapat banyak maklum balas daripada wanita. Dari situ, dia berusaha menghasilkan rekaan menepati keinginan mereka ditambah dengan kefahaman mengenai fabrik dan potongan.

Lantarakan mahukan nilai eksklusif pada setiap helaian dan ingin tampil berbeza, dia sanggup menghasilkan rekaan cetakan pada fabrik bagi menjadikan setiap busana lain daripada yang lain.

“Untuk itu, koleksi kali ini mengetengahkan gaun labuh, jubah dan baju kurung moden pada fabrik polos dengan cetakan bunga-bungaan berseni. Saya memahami wanita akan lebih merasai diri mereka dihargai apabila mengenakan padanan yang menampakkan mereka cantik, anggun dan bergaya,” katanya.

Menggunakan fabrik poliester satin digabungkan dengan sutera, ia fabrik terbaik setakat ini yang sesuai dengan cuaca panas dan lembap, menyerap peluh, tidak panas serta beralun cantik pada tubuh si pemakai.

Lebih penting, untuk menepati ciri Muslimah setiap rekaan diletakkan alas bagi mengelak ia jarang dan melekat pada tubuh.

Malah Hafiza turut mengambil kira kegilaan wanita terhadap renda yang ditambah perincian manik bagi menjadikan busana nampak mewah dan menyerlah. Begitu juga dengan organza yang diberi sentuhan tersendiri pada padanan kurung menjadikannya lebih memikat dan mudah digayakan. Pemilihan rona yang jarang berada di pasaran juga menjadi ciri asas rekaan Minaz seperti ungu lembut, biru awan atau hijau lumut.

Ingin menambah cawangan keempat di Kuantan hujung tahun ini serta dalam perancangan membawa jenama Minaz ke United Kingdom pada tahun hadapan, bagi Hafiza ia sesuatu yang cukup dibanggakan. Atas sokongan peminat juga pengikut di Instagram dan Facebook mencecah 220,000 orang, ia semestinya menjadi semangat untuk lebih memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Sempena Aidiladha ini, Minaz merangka promosi Le’Tour Minaz dengan membawakan stok pakaian lama dan terkini untuk peminat di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka pada harga sangat berpatutan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.facebook.com/minaz.my dan Instagram @minaz.my. Koleksi Minaz boleh juga diperolehi di outlet Modvier, Bangsar; Melaka, Pulau Pinang, Kuantan dan Singapura serta butik di Bandar Baru Uda, Johor Bahru; Bangi Sentral dan Seksyen 7, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:01 AM