Ibrahim Isa


Johor Bahru: Seorang pemandu kereta sapu berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan memujuk orang ramai dan menawarkan perkhidmatan menghantar ke Singapura di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Adnan Adam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Salina Omar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di Terminal Larkin, Johor Bahru, pada jam 12.30 tengah hari, 27 Januari lalu.

Dalam rayuannya, Adnan memohon jumlah wang jaminan yang rendah kerana tiada pendapatan tetap selain masih menanggung empat anak bersekolah.

Salina kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan 27 April ini sebagai tarikh sebutan semula.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Farhan Harun manakala Adnan tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 6:03 PM