Jefri didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik, hari ini, selepas mengaku bersalah memujuk dan mendesak untuk menawarkan perkhidmatan bagi membawa penumpang tanpa kuasa sah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Jefri didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik, hari ini, selepas mengaku bersalah memujuk dan mendesak untuk menawarkan perkhidmatan bagi membawa penumpang tanpa kuasa sah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua ‘ulat sapu’ dan seorang ‘ulat tiket’ masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini, atas tuduhan menawarkan perkhidmatan bagi membawa penumpang tanpa kuasa yang sah, semalam.

Majistret Salina Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Amran Chik, 48, Subeli Ahmad, 55, dan Jefri Ramli, 25, selepas mereka mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Salina turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Amran didakwa memujuk bagi maksud menawarkan perkhidmatan untuk membawa penumpang tanpa kuasa sah di sekitar Terminal Feri Stulang, di sini, 12.30 tengah hari semalam.

Subeli pula dituduh mendesak bagi tujuan sama untuk membawa penumpang dari JB Sentral ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di sini, jam 12 tengah hari semalam.

Jefri didakwa memujuk bagi tujuan sama di Terminal Larkin di sini, jam 11.20 pagi semalam.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Farhan Afiq Harun manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 1:16 PM