Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Lapan individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Trafik di sini, hari ini terhadap tuduhan menawarkan khidmat sebagai ulat teksi, ulat sapu, ulat tiket serta prebet sapu.

Bagaimanapun, hanya tujuh lelaki mengaku bersalah di hadapan Majistret Salina Omar dan masing-masing didenda RM500 seorang atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Chai Min, 58; M Murly, 40; dan Md Isa Malek, 50; didakwa secara berasingan tanpa kuasa sah mendesak atau memujuk membawa penumpang kenderaan perkhidmatan awam dari KSL Mall ke Terminal Bas Larkin serta di satu tempat awam.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di KSL Mall dan ruang legar JB Sentral antara jam 5 petang, 11 September lalu dan jam 11.45 pagi, 30 Oktober lalu.

Tee Chin Seng, 58, dan Ang Wei Jin @ Ang Hwa Jin, 67, mengaku salah melakukan perbuatan itu di kawasan teksi berkupon Jalan Jim Quee di sini, jam 4.42 petang, 26 Oktober lalu serta atas jejantas JB Sentral-City Square, Jalan Tun Abdul Razak di sini, jam 3.30 petang, 8 November lalu.

Syed Mohd Shafiq Syed Hanafi, 22, dan Saiful Nizam Rosman, 22, pula mengaku salah iaitu tanpa kuasa sah mendesak membawa penumpang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan dari Johor Bahru ke Shah Alam di Terminal Bas Larkin, pada jam 7.10 malam, 22 Oktober lalu dan jam 2.50 petang, 25 Oktober lalu.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, seorang wanita warga emas Yang Fong Kow, 66, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menggunakan Toyota Unser sebagai kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bangunan Sultan Iskandar di sini, jam 4.30 petang, 8 November lalu mengikut Seksyen 16(1) APAD 2010 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Saniayati Andi Mansur berkata, kenderaan wanita itu sudah disita.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 1:25 PM